Pages

Tuesday, 4 December 2012

Kemahiran berbahasa



  Kemahiran Berbahasa
Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah memberikan tumpuan kepada kemahiran  bahasa iaitu Kemahiran Mendengar dan Bertutur, Kemahiran Membaca, dan kemahiran Menulis. Kemahiran bahasa ini membolehkan  murid menggunakan  Bahasa Melayu secara berkesan dalam  kehidupan harian dan sebagai bahasa ilmu untuk  pembelajaran  seumur hidup bagi perhubungan sosial, pemerolehan ilmu serta bagi tujuan rekreasi. Sukatan pelajaran ini juga memberikan pertimbangan kepada pelbagai gaya pembelajaran ,minat, dan  kecerdasan yang berbeza di kalangan murid. Aktiviti Kokurikulum Bahasa Melayu yang dijalankan di luar waktu sekolah adalah penting  sebagai sokongan  bagi memantapkan kemahiran  berbahasa murid.
Sukatan pelajaran memberikan  gambaran menyeluruh tentang kurikulum Bahasa Melayu. Sukatan Pelajaran ini mengandungi matlamat, objektif, dan organisasi kandungan. Organisasi kandungan merangkumi Kemahiran Bahasa ,Hasil Pembelajaran, Sistem Bahasa dan Pengisian Kurikulum.
   Kemahiran Bahasa meliputi kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan
   kemahiran menulis.Kemahiran Bahasa merupakan teras penguasaan bahasa baku.

Kemahiran Mendengar
Kemahiran mendengar merujuk kepada keupayaan murid mendengar denga teliti, memahami dan menghayati secara lisan perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan, serta dapat memberikan maklum balas
. 
Kemahiran Bertutur
Kemahiran bertutur merujuk kepada keupayaan murid berbicara untuk menjalin hubungan dan menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan serta idea yang kritis dan kreatif dengan sebutan dan intonasi yang betul secara sopan.  Penekanan diberikan pada penggunaan pengucapan yang menggunakan tatabahasa yang betul.

Kemahiran Membaca
Kemahiran membaca merujuk kepada keupayaan murid membaca dengan sebutan, intonasi, jeda, dan kelancaran yang betul.  Penekanan perlu diberikan pada aspek pemahaman dan penaakulan pelbagai bahan secara kritis dengan menggunakan pelbagai teknik membaca.  Di samping itu, murid berupaya menghayati teks yang dibaca.
Kemahiran Menulis
Kemahiran menulis merujuk kepada keupayaan murid menulis perkataan dan ayat, dan mengeluarkan idea melalui pelbagai jenis penulisan yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi yang telah dilalui.  Penekanan perlu diberikan pada penggunaan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul, serta tulisan yang jelas, cantik, dan kemas.  Murid juga digalakkan menggunakan kreativiti mereka untuk menghasilkan penulisan bahan berunsur pengetahuan dan imaginatif.


No comments:

Post a Comment